Thursday, 13 March 2014

taranum

PENGERTIAN TARANNUM
Tarannum adalah suatu ilmu atau kaedah suara yang dipelbagaikan mengikut proses nada, rentak dan irama tertentu.
Nada   :   tingkatan atau tekanan bunyi suara.
Rentak :    pergerakan yang menghidupkan bunyi suara.
Irama   :   alunan atau bentuk bunyi

SEJARAH TARANNUM
Sebagaimana yang diketahui, Tarannum Al-Quran merupakan satu kaedah yang menggunakan kelunakan suara dalam membacakan ayat-ayat suci Al-Quran al-karim.  Suara adalah suatu getaran bunyi yang diproses oleh udara dari paru-paru melalui selaput suara kerongga-romgga mulut atau hidung yang akan ditentukan bunyinya oleh alat pertuturan  yang lain mengikut kehendak yang tertentu.
                   
Mengikut sejarahnya , Tarannum atau muzik adalah merupakan sebahagian daripada budaya sesebuah masyarakat setempat .  Ia juga diilhamkan melalui beberapa unsur seperti rajah di bawah.

                                                            
            Rasulullah s.a.w menerima Al-Quran pada tahun 610 Masihi.  Baginda memerintahkan umatnya membaca Al-Quran dengan suara elok  serta diperindahkan lagi ( tazyin / tarannum ). Kemudian terdapat beberapa orang sahabat yang mashur sebagai qari – qari yang baik antaranya Abdullah bin Mas’ud RA, Abu Musa Asy’ari RA dan ramai lagi.  Kemudian pada zaman tabiin muncul pula qari-qari seperti Alqamah bin Qis di Kufah ( 62 Hijrah ).  Abdullah bin Saib di Mekah ( 70 Hijrah ) dan lain – lain.

    Oleh kerana tarannum adalah sesuatu yang bersifat seni pendengaran, maka Jumhur qurra bersepakat bahawa tidak diketahui secara sanadnya bagaimanakah bacaan berlagu Rasulullah  s.a.w itu.

            Ketika zaman keagungan Islam dahulu, cabang-cabang ilmu Islam begitu pesat berkembang serta mempunyai berbagai aliran .  Seiring dengan itu, ilmu tarannum juga membangun serta mempunyai berbagai aliran  yang popular antaranya :
1.          Misri ( Mesir )
2.          Hijazi ( Mekah dan Madinah )
3.          Iraqi
4.          Kurdi ( sempadan Iraq dan Turki )
5.          ‘Ajami ( Iran ) dan lain-lain.

    Kini aliran yang paling popular dan diterima diseluruh dunia ialah aliran Misri.  Qari-qari Mesir yang muktabar telah mengambil dan mengubah suai tarannum atau lebih mereka sebutkan sebagai ilmu maqamal itu dari aliran-aliran di atas mengikut budaya mereka serta mengarabkannya untuk bacaan Al-Quran.

PERBANDINGAN ANTARA ALIRAN HIJAZI DAN ALIRAN MISRI

ALIRAN HIJAZI
ALIRAN MISRI

·         Padang pasir
·         Bukit bukau
·         Suhu tinggi
Lalu : irama dan rentaknya lincah dan nada suaranya tinggi kehangatan.


·         Lembah Nil
·         Subur menghijau
·         Suhu sederhana
Lalu : irama dan rentaknya lembut dan suaranya sederhana kemanisan
    Jadual  : Perbandingan Aliran Hijazi dan Misri


HUKUM UMUM BERTARANNUM           
            Berdasarkan kaedah fiqhiyyah serta pandangan alim – ulama , dapat kita fahami bahawa hukum bertarannum adalah seperti berikut :

1.                  Fardhu ( kifayah ) – jika hanya dengan berlagu sahajalah masyarakat ingin mendekati Al-Quran.
2.                  Sunat – jika dengan berlagu boleh membantu kesempurnaan hati.
3.                  Harus – untuk mengambil keseronokan mendengar alunan Al Quran yang indah.
4.                  Makruh – jika dengan berlagu tiada langsung kebaikan keagamaan diperolehi.
5.                  Haram – jika merosakkan hukum-hukum tajwid, meniru lagu-lagu keagamaan lain, meniru-niru penyanyi-penyanyi yang hanya melekakan  dan lain-lain.

Kata Ibnu Kathir :” Bahawasanya berlagu yang dikehendaki mengikut hukum syarak
hanyalah mengelokkan suara  yang menimbulkan rasa penghayatan ( tadabbur ), kefahaman, kekhusyukan, kerendahan hati serta membawa kearah ketaatan kepada Allah s.w.t.

FALSAFAH TARANNUM  
           Definisi falsafah menurut Ahmad Sunawari Long dalam bukunya Sejarah Falsafah adalah merupakan gabungan dua perkataan  Greek, iaitu philein dan sophos yang bermaksud “menyintai dan hikmah”.  Menurut Plato, falsafah adalah kajian terhadap sesuatu yang benar, baik dan cantik.  Manakala Al-Kindi, seorang ahli falsafah Islam mendefinisikan falsafah sebagai suatu ilmu mengenai hakikat sesuatu ( Tuhan ) yang berada dalam kemampuan manusia untuk mencapainya.

Jelasnya, falsafah merupakan batu asas dalam mengerakkan hala tuju sesuatu bidang.  Dalam bidang tarannum Al-Quran, falsafahnya adalah berkisar dalam lingkungan melagukan bacaan Al-Quran iaitu satu usaha kea rah memperkasakan amalan membaca Al-quran dengan menjaga mutu dan kualiti yang bertepatan syara’bagi menghubungkan rasa hati pembaca dan pendengar kepada keagungan  Allah Tuhan Pencipta. Oleh itu, bertarannum tanpa memahami falsafahnya merupakan amalan yang sia-sia  dan suatu penyelewengan terhadap nilai ilmu itu sendiri.

        Tarannum dan ilmu al-aswat (ilmu suara) adalah pasangan kembar yang tidak dapat dipisahkan kerana tarannum (lagu) itu berdiri diatas suara yang diperindahkan. Suara yang sebaliknya pula bakal mencacatkan tarannum.
          Bertitik tolak dari kefahaman hadis inilah, Kerajaan Malaysia melalui agensinya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan Kursus-Kursus Tahsin Al-Quran.
        Seorang pakar Tarannum tanah air, Al-Fadhil Tuan Haji Nik Jaafar Nik Ismail menjelaskan: untuk menguasai ilmu tarannum, menguasi ilmu-ilmu berikut secara bersepadu;
a). Ilmu al-aswat – sebagai induk.
b). Ilmu tajwid.
c). Ilmu tarannum.
d). Ilmu tartil (lahjah arabiah) – kurikulum bersepadu.